KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) pada 1 Oktober lalu memutuskan untuk menolak permohonan Konsert Kesha Warrior Tour yang dijadualkan berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur, esok.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dikeluarkan hari ini, keputusan penolakan terbabit sudah pun dimaklumkan kepada penganjur konsert berkenaan, Livescape Asia, pada 2 Oktober lalu. Konsert berkenaan turut mendapat sokongan Tune Talk.
Penolakan permohonan terbabit dibuat setelah PUSPAL mendapati persembahan penyanyi yang terkenal dengan lagu Tik Tok sekitar 2009 itu menyentuh sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat Malaysia.
Ketua Perhubungan Awam Livescape Asia, Jason Kong, ketika dihubungi berkata, mereka cuma akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu malam ini.
Sehingga petang ini, tiada berita pembatalan konsert terbabit diumumkan pihak penganjur. Malah, jualan tiketnya secara dalam talian juga masih berterusan.
Keisha ialah penyanyi yang tidak kurang dengan kontroversi, antaranya dia secara terbuka pernah mengakui dirinya seorang biseksual.
Selain itu, penyanyi yang berimej seksi ini pernah memuat naik gambar kurang sopan di Twitter miliknya sehingga menjadi bualan hangat peminat dan media di seluruh dunia.
Read more: http://berita-harian.net/hiburan/konsert-penyanyi-biseksual-kesha-esok-batal/#ixzz2iq1M5v3p
0 Komentar untuk "Konsert Penyanyi Biseksual, Kesha Esok Batal"