TUMPAT – Keghairahan tujuh sahabat mandi di tali air sedalam 1.3 meter bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di tali air Kampung Berangan Masjid, petang kelmarin.
Mangsa, Mohd Aimi Abdul Rahman, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan ditemui lemas pada jam 7.07 malam.
Rakan mangsa yang mandi bersamanya, Aiman Afzan Mat Taib, 11, berkata, mangsa lemas apabila dia cuba mengambil batang paip yang hanyut dibawa arus tersangkut di bawah jambatan simen.
“Batang paip itu dijadikan alat mainan arwah ketika kami tujuh orang mandi di tali air ini.
“Saya nampak dia terjun berenang ke arah jambatan tetapi selepas itu dia tidak timbul-timbul,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mangsa merupakan anak kelapan daripada 10 beradik yang kematian ayah sejak sembilan tahun lalu.
Sudah jadi rutin harian
Sementara itu, kakak mangsa, Nur Safirah Abdul Rahman, 20, berkata, arwah ke tali air tersebut bersama seorang lagi adiknya, Mohd Adli, 11.
“Mandi di tali air ini adalah rutin harian adik saya. Sebelum Asar lagi mereka ke tali air tersebut berhampiran rumah kami.
“Tetapi hari ini (kelmarin), Mohd Adli tidak turun dan hanya memerhati abang dan rakannya mandi di atas jambatan tersebut kerana dia demam,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, Mohd Adli meninggalkan abangnya sekejap kerana ke kedai untuk membeli makanan.
Ditemui kira-kira 30 meter
Ketua Balai Bomba Tumpat, Raja Arisan Raja Semail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.37 petang.
“Mayat mangsa ditemui oleh anggota bomba dan penduduk kampung tidak jauh dari jambatan tersebut, kira-kira 30 meter dari lokasi dia bersama rakannya mandi,” katanya.
Menurutnya, seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba Tumpat dan tiga anggota Pasukan Penyelamat di Air dari Balai Bomba Pengkalan Kubur terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, menurut sumber Sinar Harian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian.
0 Komentar untuk "Kegembiraan 7 sahabat bertukar tragedi"