KOTA KINABALU: Kemunculan cahaya merah yang kelihatan di langit sekitar pantai barat Sabah malam tadi, mencetuskan misteri kepada penduduk.
Cahaya seakan-akan garisan panjang itu dikatakan muncul antara jam 8 hingga 10.30 malam, kemudian tersebar meluas menerusi laman sosial serta aplikasi WhatsApp.
Difahamkan, cahaya itu dikatakan bukan saja dilihat sekitar daerah Putatan, Penampang dan Papar, malah didakwa kelihatan jelas di Limbang, Sarawak.
Berdasarkan cakap-cakap di laman sosial, ada yang mendakwa cahaya itu berpunca akibat pantulan cahaya daripada api di Terminal Minyak dan Gas milik PETRONAS di Kimanis.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abdul Malik Tussin, tidak menolak kemungkinan cahaya terbabit muncul disebabkan fenomena 'Light Pillar' iaitu pantulan cahaya ke atas hablur ais di awan.
Katanya, fenomena 'Light Pillar' atau turut disebut 'Sun Pillar' itu pernah berlaku di negeri ini, namun tidak dihebohkan.
Difahamkan, Light Pillar adalah fenomena optik yang dibentuk oleh pantulan cahaya bulan atau matahari ke atas hablur ais dalam atmosfera, selain terbentuk melalui sumber cahaya lain seperti lampu jalan.
0 Komentar untuk "Cahaya Merah Terangi Langit Di Pantai Sabah Cetus Misteri"