TAMPIN – Tindakan licik sepasang kekasih memadu kasih sejak tiga bulan lalu akhirnya terbongkar apabila kediaman keluarga gadis di tanah rancangan Felda dekat Gemencheh itu, diserbu penduduk kampung, 31 Ogos lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, penduduk yang merasa curiga dengan kewujudan sebuah motosikal berhampiran rumah keluarga gadis berkenaan segera ke rumah tersebut bagi melihat tetamu tidak diundang berkenaan.
Bagaimanapun menurut sumber, sebaik pintu rumah diketuk, ibu dan bapa gadis berkenaan, berusia 40-an yang berada di dalam rumah, terkejut apabila dimaklumkan penduduk kampung terdapat tetamu lain yang berkemungkinan menyelinap masuk ke rumah mereka.
“Lalu mereka membuat pemeriksaan ke dalam bilik anak gadis mereka yang berusia 15 tahun dan terkejut apabila terdapat seorang lelaki berusia 19 tahun di dalamnya.
“Berang dengan insiden berkenaan, ibu gadis segera membuat laporan polis pada malam sama selepas rahsia hubungan terlarang anak gadisnya bersama teman dikenali di dalam Facebook terbongkar di rumahnya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.
Sumber berkata, pasangan berkenaan dipercayai baru sahaja berkenalan tiga bulan lalu dan pertemuan bitu bukanlah yang pertama memandangkan perlakuan sumbang tersebut turut dilakukan di lokasi lain termasuk rumah suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika mengesahkan kejadian berkata, kini kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 376 Kanun Keseksaan susulan kes rogol seorang gadis bawah umur.
“Suspek yang hanya bekerja kampung ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ditangkap. Jika sabit kesalahan, suspek akan berhadapan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan,” katanya, lapor Sinar Harian.
0 Komentar untuk "TINDAKAN LICIK PASANGAN KEKASIH AKHIRNYA TERBONGKAR"