Tumpat: Perbuatan seorang lelaki berusia 36 tahun yang menaiki basikal dan berkain pelekat meragut seorang remaja menerima padahnya, apabila kain pelekatnya tertanggal ketika dikejar penduduk kampung yang berang dengan tindakannya.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi semalam di tepi jalan dekat simpang Stadium Mini, Pengkalan Nangka, di sini, lelaki terbabit meragut beg tangan remaja perempuan berusia 17 tahun diletakkan dalam raga motosikalnya.
Dia turut mengugut mahu mencederakan remaja terbabit selepas menyambar beg tangan berisi kad pengenalan, telefon bimbit Nokia dan wang tunai RM200.
Bagaimanapun, nasibnya kurang baik apabila remaja itu meminta tolong penduduk kampung yang kemudian mengejarnya dan sempat memukul hingga cedera, selain kain pelekatnya tertanggal ketika cuba melarikan diri.
Difahamkan, gambar lelaki itu turut tersebar di laman sosial memperlihatkan dia separuh bogel seperti bersantai di tepi jalan dengan hidung dan mulut berdarah.
Ketua Polis Daerah Superintendan Zaharuddin Rasip ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.
Katanya, suspek seorang penganggur berasal dari Kampung Bukit Payong, Terengganu, meragut mangsa sebelum mangsa meminta bantuan penduduk kampung berhampiran.
"Dia dikejar tidak jauh dari lokasi dia meragut mangsa dan cedera akibat bergelut dengan orang kampung ketika melepaskan diri.
"Suspek dibawa ke Hospital Tumpat, di sini untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
"Hasil siasatan lanjut mendapati ujian air kencingnya negatif dadah dan tiada senjata berbahaya digunakan," katanya.
0 Komentar untuk "Padah Seorang Peragut"