Berita Hebat!

Berita Paling Hebat !

Berapa RM nilai senyum anda?

pakcik-senyumSENYUMAN, pada hemat saya, adalah satu produk pelancongan. Mari sama-sama banyakkan senyum, mudah-mudahan dapat menarik lebih ramai orang ke tempat kita. Lagi manis senyuman anda, lagi lama tetamu luar bertandang.

Lagi lama mereka berlibur di sini, lagi banyak mereka berbelanja, maka lagi banyaklah fulus masuk. Senyuman, sama seperti kentut, tidak perlu modal walau sesen pun. Baik yang bergigi hatta yang rongak, senyuman tetap menarik.

Ingatlah senyuman satu sedekah, dan sekiranya anda tersenyum, alam keliling bertambah ceria. Jadi, mulai saat ini tidak kita masa dan tempat, teruskan senyuman semanis-manisnya, walaupun harga minyak naik, roti canai naik, burger naik, teh tarik naik.

Perlu diingat hanya dua bulan lagi masuk tahun baru 2014, iaitu Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014). Tan Sri Muhyiddin Yassin menjangka kita akan mencatat rekod baharu kedatangan 28 juta pelancong asing, membawa RM76 bilion kepada perbendaharaan negara.

Timbalan Perdana Menteri itu mahu selaku tuan rumah kita mesti menawarkan layanan mesra kepada pelancong. “Kita kaya dengan kepelbagaian keunikan budaya dan warisan etnik berbilang kaum, dan ini pasti menjadi tarikan utama pelancong asing,” katanya mengenai TMM 2014 yang bertemakan ‘Celebrating 1Malaysia, Truly Asia’.

Sementara bersetuju betul dengan Muhyiddin bahawa kita mempunyai pelbagai keunikan budaya, saya juga ingin menarik perhatian sesetengah budaya baharu yang mungkin menjadi kejutan kepada pelancong asing.

Pemandu kita meneruskan budaya samseng ketika di jalan raya. Mereka memecut melebihi had laju, bagaikan pelumba profesional Formula-1 di litar Sepang, memotong kenderaan ikut suka hati, membunyikan hon walaupun di kawasan larangan.

Satu lagi budaya haprak pemandu kita ialah membuang apa sahaja sisa dari dalam kenderaan – kotak rokok, pembungkus makanan, tin minuman, hatta lampin bayi. Kalau mereka makan durian dalam kenderaan, kulit durian pun akan dicampakkan dari kereta.

Pemandu teksi kita pula masih dengan budaya cekik darah. Walaupun ada undang-undang dan sudah diberi macam-macam amaran, puntianak dan drakula ini tetap tidak serik menghisap darah penumpang, terutama pelancong asing.

Mereka tidak mahu menggunakan meter, dan mengenakan tambang yang tidak masuk akal. Perjalanan tidak sampai tiga kilometer dari KLCC ke Bukit Bintang dikenakan bayaran RM30. Tambang dari KL – Petaling Jaya kira-kira 15 kilometer boleh mencecah RM50 hingga RM100. Jika menggunakan meter tambang tidak melebihi RM25.

Malah, pernah seorang pelancong dari England dicekik oleh puntianak sundal malam dengan bayaran RM400 untuk teksi dari KL Sentral ke Bukit Bintang, tidak sampai lima kilometer. Ini menjadi berita kira-kira dua tahun lalu. Tidaklah diketahui apakah pemandu teksi berkenaan sudah dihukum!

Satu lagi budaya unik kita ialah pengotor. Tandas awam kita mungkin antara yang paling busuk di planet bumi. Sekiranya pelancong menginap di hotel lima bintang, tandas pun bertaraf bintang-bintang, bersih berkilat sepanjang masa. Sebaik selesai melepaskan hajat, tidak kira ‘currr’ atau ‘preet’, air akan keluar secara automatik membersihkan keadaan.

Tetapi di luar hotel, kebanyakan tandas awam kita, termasuk di masjid dan surau, masih dalam keadaan daif. Nampak sangat orang kita pengotor. Paip tersumbat, singki bocor, lubang tandas penuh dengan tuala wanita, tandas tidak ditarik selepas memancut atau meneran.

Budaya pengotor juga jelas kelihatan setiap kali ada acara di Dataran Merdeka, stadium atau tempat-tempat umum lain. Orang membuang sampah sesuka hati. Sediakanlah tong sampah sebesar mana, mereka masih suka melambakkan sampah di merata tempat.

Dataran Merdeka kerap menjadi lautan sampah, dengan kotak rokok, pembungkus mi goreng mamak, kulit rambutan, kotak minuman, lampin bayi, apa sahaja.

Ini antara budaya tengik yang patut dibuang. Ada lebih kurang dua bulan untuk kita memperbaiki keadaan, sebelum pintu dibuka kepada tetamu asing TMM 2014. Buang semua budaya haprak dan negatif itu. Tunjukkan imej kelas pertama dalam segala hal, bukan ‘first class facility, third class mentality’ – Sinar Harian

Read more: http://berita-harian.net/informasi/berapa-rm-nilai-senyum-anda/#ixzz2ibTP8yK6
0 Komentar untuk "Berapa RM nilai senyum anda?"
 
Copyright © 2014 Berita Hebat! - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info