Berita Hebat!

Berita Paling Hebat !

Pemandu bas, lori diwajibkan ‘ujian tidur’

KUALA LUMPUR: Bakal pemandu kenderaan komersial, termasuk pemandu bas dan lori mungkin diwajibkan menduduki ‘ujian tidur’ ketika pemeriksaan kesihatan bagi mengesan kemungkinan mereka menghidap penyakit berkaitan masalah tidur sebelum diberikan Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
Melalui kaedah itu, mereka perlu tidur semalaman di wad khas yang dipanggil ‘makmal tidur’ untuk diperiksa oleh pakar bagi mengesan penyakit mereka sebelum dirawat menerusi kaedah khas menggunakan topeng gas bagi membetulkan sistem pernafasan mereka.
Ia bagi mengurangkan kemalangan berpunca daripada pemandu kerana statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan 80 peratus kemalangan berpunca daripada faktor manusia dan selebihnya faktor kejuruteraan jalan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan memandang serius penyakit insomnia (masalah sukar tidur yang menjejaskan kesihatan) dengan statistik kementerian pada 2006 menunjukkan 14 peratus penduduk dewasa negara ini mengalami masalah itu.
Berikutan itu, pihaknya dengan Kementerian Pengangkutan melihat keperluan ujian tidur dilakukan kerana pemandu yang bermasalah akan membahayakan nyawa ramai penumpang dan pengguna jalan raya.
“Perkara ini masih dibincangkan dengan Kementerian Pengangkutan.
“Sebelum ini pemeriksaan kesihatan lebih kepada ujian air kencing untuk kesan (pengambilan) dadah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tidur Sedunia 2012 anjuran New Pro-Star dan Persatuan Permasalahan Tidur Malaysia (SDSM), di Berjaya Times Square, di sini semalam.
Hadir sama Presiden SDSM, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari; Pengarah Urusan Kumpulan Goodnite, Datuk Edmond Chew; Pengarah Urusan Malaysia Book of Record, Datuk Danny Ooi dan wakil Jawatankuasa Hari Tidur Sedunia, Prof Dr Liborio Parrino.
Ketika ini, pemandu yang memohon lesen GDL dan PSV perlu menjalani ujian saringan kesihatan bagi mengesan jika menghidap penyakit kronik seperti penglihatan, sawan atau menagih dadah.
Mengulas lanjut, Tiong Lai berkata, setakat ini ada 20 makmal tidur di hospital kerajaan di seluruh negara dan jumlah itu mencukupi bagi menjalankan ujian itu.
Mengenai keperluan ujian tidur diperluaskan kepada orang awam, beliau berkata, ia bergantung kepada jumlah pakar dan kemudahan di hospital sedia ada termasuk hospital swasta.
Beliau berkata, kerajaan menggalakkan orang ramai menjalani ujian di hospital kerajaan kerana masalah tidur boleh menyebabkan penyakit kronik seperti darah tinggi serta tekanan kepada mereka yang sukar tidur.
Terdahulu, Tiong Lai menyaksikan rekod baru dicatatkan dalam Malaysia Book of Records bagi tilam individu terpanjang jenama Goodnite sepanjang 28.3 meter dipamerkan sempena sambutan Hari Tidur Sedunia 2012.
-Bharian


Read more: http://berita-harian.net/lain2/pemandu-bas-lori-diwajibkan-ujian-tidur/#ixzz2iEUJ2GmL
0 Komentar untuk "Pemandu bas, lori diwajibkan ‘ujian tidur’"
 
Copyright © 2014 Berita Hebat! - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info